Posted by : Unknown
Wednesday, 14 May 2014
MASYARAKAT Melayu mempunyai satu sistem tulisan tersendiri yang dikenali sebagai tulisan jawi. Suatu masa dahulu, tulisan jawi merupakan tulisan yang digunakan dalam urusan harian, sebelum kedatangan tulisan rumi.
Semua masyarakat Melayu dan juga bukan Melayu tahu menulis dan membaca tulisan jawi. Mereka perlu menguasai tulisan ini kerana tiada tulisan lain pada waktu itu yang digunakan.
Entah di mana silapnya, tulisan jawi kini dipandang sepi. Hanya beberapa waktu sahaja tulisan jawi digunakan untuk urusan rasmi. Hari- hari lain hanya menyaksikan tulisan jawi menjadi tulisan kedua di papan tanda. Akhbar yang menggunakan tulisan jawi pun kini sudah tiada.
Terdapat beberapa langkah yang dicadangkan oleh pencinta tulisan ini yang tidak mahu tulisan ini hilang ditelan arus peredaran zaman. Cadangan menganjurkan kempen menggunakan tulisan jawi misalnya telah pun disahut oleh pihak kerajaan. Hasilnya masyarakat sudah mula tahu tentang tulisan jawi. Tetapi mengetahui saja tidak cukup.
Dalam mencari sebab mengapa masyarakat Melayu kini tidak menguasai tulisan jawi terutamanya warga remaja, beberapa punca boleh disenaraikan. Pertamanya mungkin kerana tulisan ini bukanlah tulisan yang menjadi kegunaan seharian warga dunia. Dalam erti kata lain, masih boleh hidup di dunia ini, dan masih boleh bekerja seseorang itu walaupun dia tidak menguasai tulisan jawi. Tidak seperti Bahasa Inggeris, yang sangat perlu dikuasai oleh seseorang itu sekiranya hendak berjaya dan bersaing dengan masyarakat dunia.
Kedua, mungkin kerana anak muda hari ini tidak ada tempat untuk belajar jawi. Mereka yang dewasa yang diharapkan untuk mengajar anak muda juga tidak menguasai tulisan ini. Lama-kelamaan, jika dibiarkan situasi ini berterusan, tidak mustahil tulisan jawi akan lenyap buat selama-lamanya.
Di sini saya ingin membincangkan tentang tulisan itu sendiri. Mungkin kelemahan tulisan itu sendiri yang menyukarkan masyarakat Melayu untuk mempelajarinya. Tulisan jawi berbeza dengan tulisan rumi pertamanya sudah tentu daripada segi rupanya. Keduanya daripada segi huruf vokalnya. Tulisan rumi mengandungi lima huruf vokal, a,e,i,o, dan u. Berbeza dengan tulisan jawi yang hanya mengandungi tiga huruf, iaitu alif, wau dan ya.
Satu ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap tulisan ini adalah mengenai penggunaan huruf alif. Jika mempelajari bahasa, bahagian yang sukar dikuasai adalah tata bahasanya.
Untuk tulisan jawi, yang sukar difahami adalah penggunaan huruf alif. Huruf alif disamakan dengan huruf vokal a dalam tulisan rumi. Bermakna, untuk sesetengah perkataan, huruf alif digunakan untuk menggantikan huruf a. Namun, di sinilah timbul masalah apabila tidak semestinya sesuatu perkataan itu jika ditulis dalam jawi menggunakan alif walaupun dalam ejaan ruminya terdapat huruf a.
Contohnya perkataan 'yang'. Ejaan ruminya mengandungi empat huruf, dan terdapat satu huruf a. Namun huruf a ini tidak ditukar kepada alif dalam ejaan jawi. Ejaan jawi bagi perkataan yang adalah gabungan huruf ya+nga. Contoh seterusnya adalah perkataan 'bukan'. Ejaan bukan dalam jawi terdiri daripada huruf ba+wau+kaf+nun. Tiada huruf alif digunakan walaupun ejaan ruminya mengandungi huruf a.
Oleh itu, saya mencadangkan supaya penggunan huruf alif disemak semula. Bagi perkataan 'yang' misalnya, ejaan yang dirasakan sesuai adalah gabungan huruf ya+alif+nga. Begitu juga untuk perkataan 'bukan', yang dirasakan sesuai dieja ba+wau+ kaf+alif+nun.
Sendainya cadangan ini diterima, ini akan memudahkan ejaan jawi diguna pakai. Penggunaan huruf alif sangat mengelirukan kerana bagi mereka yang baru mempelajari tulisan ini, agak sukar untuk menentukan sama ada huruf alif diguna atau tidak dalam ejaan jawi perkataan tersebut.
Perkataan 'dapat' dieja dal+alif+pa +ta. Lebih mudah sekiranya diletakkan alif di antara pa dan ta. Perkataan 'masa' misalnya yang dieja mim+alif+ sin perlu diletakkan alif di hujung sin. Mim+alif+sin boleh dibaca sebagai 'mas' kerana tidak terdapat huruf alif di hujung. Jika ditambah huruf alif, maka mim+alif+sin+alif hanya boleh dibaca sebagai masa yang merujuk kepada waktu.
Mungkin pakar dalam tulisan jawi boleh membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut. Cadangan saya ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memudahkan penulisan tulisan jawi. Diharapkan juga apabila penulisan tulisan jawi menjadi semakin mudah, lebih ramai yang ingin mempelajari tulisan ini. Warisan tulisan jawi yang sangat tinggi harganya perlulah dipelihara, dan jika dirasakan perlu, dipulihara.