MASYARAKAT Melayu mempunyai satu sistem tulisan tersendiri yang dikenali sebagai tulisan jawi. Suatu masa dahulu, tulisan jawi merupakan tulisan yang digunakan dalam urusan harian, sebelum kedatangan tulisan rumi.
Semua masyarakat Melayu dan juga bukan Melayu tahu menulis dan membaca tulisan jawi. Mereka perlu menguasai tulisan ini kerana tiada tulisan lain pada waktu itu yang digunakan.
Entah di mana silapnya, tulisan jawi kini dipandang sepi. Hanya beberapa waktu sahaja tulisan jawi digunakan untuk urusan rasmi. Hari- hari lain hanya menyaksikan tulisan jawi menjadi tulisan kedua di papan tanda. Akhbar yang menggunakan tulisan jawi pun kini sudah tiada.
Terdapat beberapa langkah yang dicadangkan oleh pencinta tulisan ini yang tidak mahu tulisan ini hilang ditelan arus peredaran zaman. Cadangan menganjurkan kempen menggunakan tulisan jawi misalnya telah pun disahut oleh pihak kerajaan. Hasilnya masyarakat sudah mula tahu tentang tulisan jawi. Tetapi mengetahui saja tidak cukup.
Dalam mencari sebab mengapa masyarakat Melayu kini tidak menguasai tulisan jawi terutamanya warga remaja, beberapa punca boleh disenaraikan. Pertamanya mungkin kerana tulisan ini bukanlah tulisan yang menjadi kegunaan seharian warga dunia. Dalam erti kata lain, masih boleh hidup di dunia ini, dan masih boleh bekerja seseorang itu walaupun dia tidak menguasai tulisan jawi. Tidak seperti Bahasa Inggeris, yang sangat perlu dikuasai oleh seseorang itu sekiranya hendak berjaya dan bersaing dengan masyarakat dunia.
Kedua, mungkin kerana anak muda hari ini tidak ada tempat untuk belajar jawi. Mereka yang dewasa yang diharapkan untuk mengajar anak muda juga tidak menguasai tulisan ini. Lama-kelamaan, jika dibiarkan situasi ini berterusan, tidak mustahil tulisan jawi akan lenyap buat selama-lamanya.
Di sini saya ingin membincangkan tentang tulisan itu sendiri. Mungkin kelemahan tulisan itu sendiri yang menyukarkan masyarakat Melayu untuk mempelajarinya. Tulisan jawi berbeza dengan tulisan rumi pertamanya sudah tentu daripada segi rupanya. Keduanya daripada segi huruf vokalnya. Tulisan rumi mengandungi lima huruf vokal, a,e,i,o, dan u. Berbeza dengan tulisan jawi yang hanya mengandungi tiga huruf, iaitu alif, wau dan ya.
Satu ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap tulisan ini adalah mengenai penggunaan huruf alif. Jika mempelajari bahasa, bahagian yang sukar dikuasai adalah tata bahasanya.
Untuk tulisan jawi, yang sukar difahami adalah penggunaan huruf alif. Huruf alif disamakan dengan huruf vokal a dalam tulisan rumi. Bermakna, untuk sesetengah perkataan, huruf alif digunakan untuk menggantikan huruf a. Namun, di sinilah timbul masalah apabila tidak semestinya sesuatu perkataan itu jika ditulis dalam jawi menggunakan alif walaupun dalam ejaan ruminya terdapat huruf a.
Contohnya perkataan 'yang'. Ejaan ruminya mengandungi empat huruf, dan terdapat satu huruf a. Namun huruf a ini tidak ditukar kepada alif dalam ejaan jawi. Ejaan jawi bagi perkataan yang adalah gabungan huruf ya+nga. Contoh seterusnya adalah perkataan 'bukan'. Ejaan bukan dalam jawi terdiri daripada huruf ba+wau+kaf+nun. Tiada huruf alif digunakan walaupun ejaan ruminya mengandungi huruf a.
Oleh itu, saya mencadangkan supaya penggunan huruf alif disemak semula. Bagi perkataan 'yang' misalnya, ejaan yang dirasakan sesuai adalah gabungan huruf ya+alif+nga. Begitu juga untuk perkataan 'bukan', yang dirasakan sesuai dieja ba+wau+ kaf+alif+nun.
Sendainya cadangan ini diterima, ini akan memudahkan ejaan jawi diguna pakai. Penggunaan huruf alif sangat mengelirukan kerana bagi mereka yang baru mempelajari tulisan ini, agak sukar untuk menentukan sama ada huruf alif diguna atau tidak dalam ejaan jawi perkataan tersebut.
Perkataan 'dapat' dieja dal+alif+pa +ta. Lebih mudah sekiranya diletakkan alif di antara pa dan ta. Perkataan 'masa' misalnya yang dieja mim+alif+ sin perlu diletakkan alif di hujung sin. Mim+alif+sin boleh dibaca sebagai 'mas' kerana tidak terdapat huruf alif di hujung. Jika ditambah huruf alif, maka mim+alif+sin+alif hanya boleh dibaca sebagai masa yang merujuk kepada waktu.
Mungkin pakar dalam tulisan jawi boleh membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut. Cadangan saya ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memudahkan penulisan tulisan jawi. Diharapkan juga apabila penulisan tulisan jawi menjadi semakin mudah, lebih ramai yang ingin mempelajari tulisan ini. Warisan tulisan jawi yang sangat tinggi harganya perlulah dipelihara, dan jika dirasakan perlu, dipulihara.
Oleh : Che Wan Shamsul Bahri bin CW Ahmad, kini bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Artikel ini hanyalah pandangan penulis semata-mata. Kutipan dan petikan adalah dinyatakan sumbernya.
Pendahuluan
Pendahuluan
Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah bukan sahaja lanskap
kehidupan masyarakat Melayu, bahkan juga turut mengubah kaedah penulisan
masyarakat Melayu. Ini terbukti dengan penggunaan tulisan Jawi secara
meluas di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Usianya dikatakan telah
mencecah hampir seribu tahun berbanding dengan tulisan Rumi yang hanya
mula digunakan secara meluas selepas tahun 1960an. Apabila masyarakat Malaysia mula menggunakan bahasa Melayu
tulisan Rumi secara rasmi pada tahun 1963, maka secara tidak langsung
tulisan Jawi mula dipinggirkan. Bertitik tolak dari situ, tulisan Jawi
sudah tidak lagi dilihat kepentingannya sebagai tulisan bahasa Melayu.
Lantaran dari itu, pengajaran Jawi di sekolah tidak lagi ditekankan.
Program memartabatkan Jawi |
Terdapat banyak bahan-bahan yang tulisan Jawi yang sampai ke Tanah Melayu seperti kitab agama serta hikayat nabi dan para sahabat menggunakan sistem ejaan Jawi pengaruh Arab. Penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) yang bertarikh 22 Februari 1303 M menjadi bukti penggunaan tulisan Jawi di alam Melayu(Rohayu Ismail 2008). Apa yang menariknya, BBPT ditulis menggunakan tulisan Jawi dengan pengaruh Melayu; iaitu penggunaan huruf vokal. Ia dikatakan tulisan Jawi yang tertua di dunia. Terdapat sedikit perbezaan di antara tulisan Jawi pada masa dahulu dengan sistem tulisan Jawi moden yang kita lihat pada hari ini (Ahmad et al. 2012).
Batu Bersurat Terengganu |
Kini, peranan besar yang dimainkan oleh tulisan Jawi telah diambil alih oleh tulisan Rumi. Menurut (Faisal Kadir 2011), bekas penjajah terkejut kerana orang Melayu kini tidak lagi menggunakan tulisan Jawi. Beliau menceritakan pengalaman beliau semasa bekerja di sebuah perpustakaan di Scotland. Beliau didatangi oleh seorang Scottish yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Orang Scottish ini fikir bahawa orang Malayu masih menggunakan fon Arab atau Al Quran (tulisan Jawi) lagi dalam penulisan mereka.
Tulisan Jawi Suatu Masa Dahulu
Mahir membaca dan menulis Jawi suatu masa dahulu adalah satu kebanggaan.
Kebanyakan golongan cerdik pandai pada masa itu menggunakan ejaan Jawi
sepenuhnya dalam persuratan dan penulisan karya mereka (Abd Jalil Borham
2012). Tulisan Jawi digunakan secara meluas bagi bahasa Melayu pada
masa itu dan berfungsi sebagaimana ejaan Rumi pada hari ini.
Sehinggakan orang Inggeris pun menggunakan tulisan Jawi untuk mengutus
surat kepada raja-raja dan pembesar Melayu. Bahasa Melayu bertindak
sebagai lingua franca, iaitu
sebagai bahasa perantaraan dalam kalangan pedagang dan penggunaannya
sangat meluas sebagaimana bahasa Inggeris hari ini (Nik Safiah Karim et al. 2004).
Pada hari ini keadaannya amat berbeza sekali. Usaha Wilkinson untuk mengelirukan orang Melayu dalam penggunaan tulisan Jawi nampaknya telah berjaya seterusnya menyebabkan orang Melayu kurang berminat dengan sistem tulisan ini kerana terlalu banyak homograf dan kekeliruan (Amat Juhari Moain 1996). Lantas, orang Melayu merasa lebih selesa dengan ejaan Rumi yang kononnya dikatakan lebih mantap. Sebenarnya, tulisan Rumi juga mengalami proses revolusi dan kematangan sehingga kita dapat lihat ejaan terkini pada hari ini.
Nasib Tulisan Jawi dan Bahasa Melayu
Pada masa ini, penggunaan ejaan Rumi sangat meluas dalam Bahasa Melayu.
Untuk menggunakan ejaan Jawi adalah satu perkara yang agak ganjil. Lebih
malang lagi, sebahagian masyarakat kita memandang rendah terhadap
tulisan Jawi. Pelajaran Jawi juga adalah di antara pelajaran yang paling
tidak popular dalam kalangan pelajar (Rashid 2004).
Dalam satu Seminar Antarabangsa Teknologi Pendidikan (IMETC2011) di Kuantan pada 16 hingga 19 Oktober 2011, terdapat pembentang daripada Singapura yang mengejutkan penulis tentang nasib Bahasa Melayu di Singapura. Pembentang tersebut adalah seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Singapura. Bahasa Melayu memang salah satu bahasa rasmi Singapura tetapi amat menyedihkan kerana penggunaannya terhad. Orang Melayu di Singapura sendiri lebih berminat dan selesa menggunakan Bahasa Inggeris dalam percakapan seharian mereka.
Apa yang ingin dikongsi di sini ialah kegusaran guru tersebut terhadap pelajarnya yang dikatakan kurang berminat untuk belajar Bahasa Melayu. Tidak ramai pelajar Melayu di Singapura yang menunjukkan minat belajar Bahasa Melayu berbanding dengan Bahasa Inggeris. Apatah lagi pelajar yang bukan berbangsa Melayu. Ini belum lagi disentuh berkenaan Bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi.
Di Malaysia, nasib Bahasa Melayu masih terpelihara kerana Bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa rasmi negara ini. Bahasa Melayu juga menjadi matapelajaran yang wajib diambil dalam peperiksaan sekolah rendah, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala di sekolah menengah pula ialah Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Namun begitu, tidak mustahil suatu masa nanti nasib yang sama sebagaimana Bahasa Melayu di Singapura mungkin akan menimpa negara kita jika tidak ditangani dengan serius mulai sekarang.
Program seumpama ini amat baik untuk survival Jawi |
Di institusi pengajian tinggi, sama ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), peminggiran terhadap Bahasa Melayu telah mula kelihatan. Banyak universiti menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P &P) mereka dengan alasan terdapat pelajar antarabangsa. Mahasiswa universiti di semua bidang hanya wajib mengambil satu matapelajaran Bahasa Melayu, itupun diberi pengecualian kepada pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi kertas Bahasa Melayu di peringkat SPM. Manakala pelajar asing diberi pengecualian daripada mengambil matapelajaran Bahasa Melayu.
Tulisan Jawi Kini
Pada hari ini, generasi muda berasa malu untuk belajar Jawi, seolah-olah
Jawi hanya untuk pelajar yang mengikuti bidang pengajian Islam sahaja.
Masyarakat kita lebih selesa menggunakan tulisan Rumi berbanding tulisan
Jawi. Lebih malang lagi apabila sebahagian masyarakat kita lebih selesa
berbahasa Inggeris yang diselang seli dengan bahasa Melayu dalam
perbualan harian mereka.
Bangsa Melayu hari ini perlu khuatir tentang nasib tulisan Jawi. Tidak
mustahil tulisan Jawi akan pupus dalam kehidupan masyarakat Melayu pada
suatu masa nanti jika langkah-langkah memajukannya tidak dimulakan
dengan serius daripada sekarang. Ungkapan yang paling sesuai bagi
tulisan Jawi kini adalah “hidup segan, mati tak mahu”. Itulah realitinya
tulisan Jawi kini.
Penggunaan tulisan Jawi terlalu terhad. Di jabatan kerajaan, hanya Jabatan Agama Islam sahaja yang menggunakan tulisan Jawi seperti pada surat daftar nikah dan untuk menyediakan teks kuthbah Jumaat. Manakala di sekolah pula hanya matapelajaran Jawi (sekolah rendah) dan Pendidikan Islam sahaja yang menggunakan Jawi. Program j-QAF di sekolah rendah dilihat satu usaha murni kerajaan dalam mengangkat martabat tulisan Jawi. Hasilnya selepas tiga tahun dilaksanakan cukup membanggakan(Bernama, 2007).
Di peringkat negeri pula terdapat sesetengah negeri, melalui pihak berkuasa tempatan mempunyai peraturan penggunaan Jawi pada papan tanda bagi nama kedai, papan iklan, nama jalan dan nama lorong. Peraturan ini sekurang-kurangnya adalah satu usaha untuk memartabatkan Jawi.
Papan Tanda di Terengganu |
Di Terengganu misalnya, kerajaan negeri mengurangkan bayaran lesen papan tanda sebagai galakkan penggunaan tulisan Jawi secara meluas di negeri tersebut. Kerajaan negeri juga mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi, termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi dan merancakkan lagi penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar.
Menurut Suriati (2011), dalam satu sidang DUN Terengganu, Mohd Razif menyatakan bahawa syarat utama kemasukan pelajar ke tingkatan satu ke sekolah agama di Terengganu adalah perlu menjalani ujian tulisan Jawi dan memilih mereka yang hanya mendapat peratusan tinggi. Kerajaan negeri Terengganu juga membina pusat tulisan Jawi di di Kuala Berang dan dikawal selia oleh Muzium Negeri Terengganu.
Kepentingan Jawi dan Cabaran dalam Pelestariannya
Menurut (Zin Mahmud 2006) penggunaan tulisan Jawi ini wajar dipertahankan atas tiga sebab iaitu;
- tulisan jawi memperkaya intelektual Melayu melalui pengungkapan bacaan dan tulisan bahan-bahan bacaan berhubung tamadun Islam,
- tulisan jawi melicinkan minda Melayu kerana ia ditulis dan dibaca dengan cepat dan berkesan, dan
- tulisan jawi mempunyai keindahan khat yang paling tinggi.
Justeru, Kementerian Pendidikan perlu berusaha keras untuk mewujudkan
minat terhadap Jawi dalam kalangan pelajar. Dalam pendidikan, terdapat
matapelajaran Jawi bagi pelajar sekolah rendah(Mohd Mazhan Tamyis 2011),
dengan 1-2 waktu seminggu (walaupun agak terhad) dan matapelajaran
Pendidikan Islam yang menggunakan teks Jawi.
Penubuhan Kelab Jawi di sekolah adalah langkah terpuji kerajaan dalam menggalakkan minat pelajar terhadap Jawi. Menurut Hishammuddin Tun Hussein kelab tersebut menjadi sebahagian daripada aktiviti luar bilik darjah untuk ditawarkan kepada pelajar(Bernama, 2007).
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang mengawal piawaian ejaan Jawi perlu memainkan peranan yang lebih aktif lagi dalam usaha memartabatkan Jawi. Penulis mencadangkan agar hanya satu tulisan Jawi yang standard dan selaras dengan nama ‘Ejaan Jawi Dewan’ yang menggambarkan bahawa hanya DBP sahaja yang mempunyai autoriti dalam menjaga khazanah bangsa Melayu, iaitu tulisan Jawi di samping mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh Jawi terkemuka. Sebarang pertelingkahan dan pertanyaan berkenaan ejaan Jawi yang betul (jika terdapat kekeliruan) perlu dirujuk kepada DBP (Matlob 2011). DBP mempunyai kuasa muktamad dalam menentusahkan ejaan Jawi. Penerbitan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi adalah satu usaha yang murni ke arah memartabatkan tulisan Jawi (Ismail Dahaman et al. 2008).
Buku Daftar Ejaan Rumi Jawi terbitan DBP |
Pelbagai seminar, persidangan, bengkel dan simposium yang berasaskan Jawi juga perlu diperbanyakkan lagi agar tulisan Jawi dapat disemarakkan. Tanpa usaha yang berterusan, program seumpama ini akan dilihat seolah-olah seperti hangat-hangat tahi ayam atau sifatnya bermusim.
Penghasilan produk ICT seperti perisian Jawi oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan Malaysia (KeKKWa)dan Management dan Science University, (MSU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pelbagai lagi perlu dirancakkan. Usaha NGO seperti Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia (PENJAWIM), Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) dan lain-lain lagi dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan tulisan Jawi perlu disokong dan didukung dengan menyumbang bantuan dan dana sama ada daripada pihak kerajaan mahupun syarikat-syarikat korporat.
Produk Permainan Kanak-kanak oleh KUIS |
Kerajaan juga perlu memikirkan dengan serius kesinambungan penggunaan tulisan Jawi, bukan hanya setakat di sekolah sahaja. Usahakan agar tulisan Jawi digunakan secara meluas dalam kehidupan dan aktiviti seharian, bukannya terhad kepada tempat dan masa tertentu sahaja. Sebagai langkah permulaan, selain daripada setiap kepala surat atau nama jabatan kerajaan ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi, sekurang-kurangnya perenggan pertama surat-surat kerajaan perlu ditulis dalam tulisan Jawi. Ini secara langsung dapat menarik minat mereka yang buta Jawi untuk mengetahui apa yang tertulis di permulaan surat tersebut. Atau setidak-tidaknya terdapat transliterasi Rumi-Jawi pada perenggan pertama pada setiap surat kerajaan.
Program televisyen ‘Mahir Jawi’ di TV9 adalah satu program televisyen yang sangat baik kepada pelajar dan juga kanak-kanak. Program ini berjaya menarik minat pelajar kerana mereka belajar Jawi dalam keadaan santai dan menyeronokan. Ia memberi nafas baru dalam mempelajari Jawi walaupun terdapat sedikit teguran tentang beberapa kesilapan dalam perkataan Jawi yang digunakan. Teguran itu boleh diambil secara positif untuk menambah baik program tersebut di masa akan datang.
Stesen-stesen televisyen juga perlu memasukkan tulisan Jawi dalam iklan mereka sebagaimana iklan yang menggunakan papan iklan di sesetengah negeri. Ini menggalakan penonton televisyen untuk membaca tulisan Jawi tersebut dan mendapatkan ejaan Jawi yang betul bagi perkataan tersebut.
Kesimpulan
Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan
Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari
ini. Tulisan Jawi juga harus mampu bergerak seiringan dengan tulisan
perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu. Ia diharap mampu
menyokong terutamanya istilah-istilah baru dalam sains dan teknologi yang kebanyakkan menggunakan kata pinjaman Inggeris.
Perbincangan di atas juga jelas menunjukkan bahawa usaha yang begitu tegas dan serius dari pihak kerajaan amat diperlukan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi. Kerajaan memiliki kuasa dalam membuat dasar (Azizi Hj Abdullah 2006). Tanpa usaha dan dokongan daripada pihak kerajaan, tulisan Jawi yang pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam pasti akan terkubur. Khazanah berharga (kitab-kitab lama, manuskrip-manuskrip lama) akan hilang jika tidak dijaga dan digali sepenuhnya.
Bahasa melambangkan bangsa (Rashid 2004), bangsa Melayu memang sering dikaitkan dengan Jawi suatu masa dahulu (Hashim Haji Musa dan Adi Yasran Abdul Aziz 2009).
Sebelas cadangan yang dikemukakan oleh Hashim dan Yusran dalam kertas Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi sepatutnya diperhalusi oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan tulisan Jawi.
Apa jadi dengan resolusi dan cadangan Prof Dr (Ismail Ibrahim 1991) dalam Konvensyen Tulisan Jawi dulu? Apakah tindakannya?
Pengajaran
Jawi mempunyai kaedah pengajaran yang khusus dan tersendiri. Namun ramai yang beranggapan kaedah mengajar jawi sama seperti kaedah pengajaran mata pelajaran lain dalam Pendidikan Islam. Tanggapan sebegitu kurang tepat. Kaedah pengajaran jawi yang disarankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan telah
diberi pendedahan secara khusus kepada bakal-bakal guru Pendidikan Islam dan
j-QAF (Kementerian Pelajaran Malaysia 2006). Kaedah-kaedah tersebut ialah
kaedah pandang sebut, kaedah huruf (abjad), kaedah bunyi (fonetik), kaedah mengeja/
membatang, kaedah imlak, kaedah latih tubi, kaedah permainan dan kaedah
nyanyian.
Bil.
|
Kaedah
|
Huraian
|
1.
|
Pandang Sebut
|
· Membunyikan
perkataan atau suku kata berdasarkan gambar.
· Membunyikan ayat
berdasarkan gambar yang ada cerita.
· Tidak
memfokuskan kepada pengajaran bunyi huruf dan tidak mengeja.
· Kaedah paling
popular dalam pengajaran jawi dan menjimatkan masa guru.
|
2.
|
Kaedah Huruf (Abjad)
|
· Asas bacaan
ialah bunyi pada setiap huruf yang membentuk perkataan.
· Memperkenalkan
kesemua 37 huruf jawi, huruf vokal dan huruf konsonan.
· Cantuman huruf
konsonan vokal membentuk bunyi dalam suku kata seterusnya membentuk
perkataan.
· Membolehkan
murid dapat mengeja dan membaca semua perkataan.
· Mengambil masa
yang lama untuk mengeja setiap perkataan.
· Kaedah asas
yang paling tua digunakan.
|
3.
|
Kaedah Bunyi (Fonetik)
|
· Asas bacaan
yang menekankan hubungan simbol dan bunyi.
· Banyak
menggunakan teknik asiosasi bunyi dan asiosasi gambar seperti bunyi ‘eee’
bagi jijik dan ‘aa’ bagi pedas/ panas.
· Memperkenalkan
bunyi-bunyi asas dahulu sebelum memperkenalkan semua bunyi.
· Amat sesuai
diajar kepada kanak-kanak yang baru mengenali huruf jawi.
|
4.
|
Mengeja/ Membatang
|
· Mengeja dengan
menyebut satu demi satu huruf yang membentuk suku kata.
· Mengeja dan
membunyikan huruf secara individu, kumpulan dan kelas.
· Menggabungkan
suku kata dieja dan membentuk perkataan.
· Mengeja dan
menulis perkataan yang dibentuk.
|
5.
|
Imlak
|
· Melibatkan
kemahiran mendengar dan menulis secara mekanisme.
· Menyalin unit
bahasa sama ada huruf, suku kata, perkataan, ayat ataupun wacana.
· Membaca dengan
suara yang lantang sumber yang ditulis.
· Menggunakan
kemahiran mendengar dengan jelas dan melatih kemahiran menyebut dengan
intonasi yang betul.
|
6.
|
Latih-tubi
|
· Juga dikenali
dengan kaedah ulangan, tikrar dan amat hampir dengan kaedah hafazan.
· Aktiviti
mengulangi fakta dan kecekapan kemahiran yang dipelajari.
· Mampu mencapai
taraf penguasaan kemahiran dan mengekalkannya.
|
7.
|
Permainan
|
· Satu kaedah
melatih murid dengan menarik dan praktis.
· Dapat
mengembangkan banyak kemahiran murid-murid.
· Amat sesuai
dengan murid-murid peringkat rendah.
· Amat berkesan
dalam memupuk minat, tujuan dan impak pengajaran.
|
8.
|
Nyanyian/ Nasyid
|
· Selari dengan
minat dan tahap murid sekolah rendah yang sangat suka menyanyi/ bernasyid.
· Perlu
disesuaikan dengan isi kandungan pengajaran seperti lagu ‘aa, ba, ta’ dan
‘Rasa Sayang Jawi’.
· Amat berkesan
dalam membantu murid-murid mengingati, huruf-huruf jawi dan mengeja
perkataan.
|
Walaupun
guru diminta memilih pendekatan dan kaedah yang paling sesuai bagi proses pengajaran
dan pembelajaran mereka. Tidaklah bererti mereka hanya perlu menggunakan
satu-satunya kaedah yang difikirkan terbaik dalam setiap pengajaran dan
pembelajaran. Bahkan pengajaran dan pembelajaran yang baik akan mempelbagaikan
penggunaan kaedah dalam setiap langkah pengajaran. Justeru pemahaman guru
terhadap setiap pendekatan dan kaedah yang digunakan perlu jelas, betul dan
mantap.